Saturday, February 14, 2015

Murabbi Ummah

Sekarang aku mengerti, mengapa Saidina Umar Al-Khattab begitu marah semasa diberitakan kepada beliau oleh sahabat-sahabat tentang kewafatan Rasulullah sehingga beliau mengatakan "Akan aku bunuh sesiapa sahaja yang mengatakan baginda Rasulullah telah wafat", sambil menghunus garang pedangnya.

Cuaca yang mendung di Kelantan semsa pengebumian Tuan Guru tempoh hari menggamit suasana yang begitu sugul dan menimbulkan kesayuan hati mereka yang hadir, ditambah pula dengan angin sepoi-sepoi bahasa. Kehilangan beliau memberi kesan yang begitu hebat dalam diri kita semua apatah lagi rakyat di bumi Kelantan. Mereka belum pun sempat untuk sembuh dari luka bah yang menimpa, Dia telah memanggil sang murabbi. Bertuah mereka yang berada di bawah pimpinan beliau, negeri serambi Makkah; Kelantan. Negeri yang sepenuhnya mengamalkan ajaran berdasarkan Al-Qur'an dan tidak lekang dari sunnah RasulNya.

Mempunyai pemimpin yang begitu merendah diri. Bibir yang tidak pernah berhenti dari memuji dan memuja Sang Pencipta. Insan hebat ini, tiap tutur dan bait kata yang beliau ungkapkan sentiasa mentarbiyyah dan mengingatkan tentang tugas seorang hamba di muka bumi. Beliau yang selalu mengaitkan Islam dari segala aspek.

Perginya seorang insan mulia, murabbi ummah pada malam penuh barakah. Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang akan sentiasa dirindui. Moga murabbi kami tenang dan tersenyum riang dalam perjalanan menuju sang kekasih.

Al-Fatihah.